Pelumba McLaren, Jenson Button menggenggam tangan meraikan kejayaan mengungguli GP China, semalam sambil di tempat kedua milik rakan sepasukan, Lewis Hamilton. - AP
Kedua-dua pemandu Britain itu buat pertama kali berada pada kedudukan satu dua, sekali gus merentap harapan Red Bull, yang terpantas pada sesi kelayakan.
McLaren mencatat kemenangan hasil strategi dan taktik perlumbaan yang menjadi.
Dua pemandu Red Bull, Sebastian Vettel dan Mark Webber, yang mencatat kedudukan satu dan dua di Malaysia, dua minggu lalu, sekadar di tempat keenam dan kelapan.
Kemenangan Button, yang mencatat masa 1:46:42.163 adalah kemenangan kedua dalam empat perlumbaan sejak menyertai McLaren musim ini, serta yang kesembilan sepanjang kariernya.
Keputusan awal untuk tidak memasuki pit ketika pemandu lain bergegas menukar tayar ekoran hujan pada awal perlumbaan, membuktikan keputusannya tepat.
Kemenangan itu melonjak kedudukan ke tempat teratas dengan kelebihan 10 mata, mengatasi pemandu Jerman, Nico Rosberg, yang menyudahkan perlumbaan di tempat ketiga bersama pasukan baru Mercedes GP.
Rakan pasukan Rosberg, yang juga juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher, 41, pula dilihat bergelut dengan hanya berada di tempat ke-10 untuk mendapatkan satu mata.
"Wow... Kejayaan yang hebat," jerit Button menerusi radio pasukan setelah memperlahankan jenteranya.
"Kami benar-benar memperolehinya. Tahniah kepada semua," tambahnya lagi.
Hamilton menjadi orang pertama yang memberi ucapan tahniah padanya, Button mengakui, "Apabila kereta keselamatan keluar untuk membersihkan serpihan dari trek, kemenangan ini benar-benar nyata. Kemenangan ini begitu istimewa, ia memberi erti yang banyak.
''Ia merupakan perlumbaan yang sukar dan kami melakukan kerja yang baik."
Jika Button mempamerkan gaya yang lancar, skil yang sempurna dan pengurusan tayar yang hebat, Hamilton pula menunjukkan aksi yang garang, terlibat dalam kemalangan.
Hamilton juga terjebak dalam aksi dramatik di laluan pit, apabila saling merapati satu sama lain dengan Vettel dari Red Bull.
Insiden itu bakal disiasat oleh pegawai perlumbaan.
"Pasukan melepaskan saya ketika mereka merasakan ia adalah masa yang baik. Kereta saya sedikit goyang apabila saya meninggalkan kawasan pit dan saya perasan Sebastian berada di situ, malah dia menolak saya sedikit ke kanan. Tetapi saya fikir, ia tidak apa-apa," kata juara dunia berusia 25 tahun itu.
Selain itu, Rosberg juga membuat panggilan strategik yang tepat dan mendahului 19 pusingan, seterusnya mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga di depan dua juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Ferrari.
Robert Kubica, Renault pula berada di kedudukan kelima manakala pemandu Red Bull, Vettel, yang bermula dari petak pertama, berada di tempat keenam.
Pemandu Rusia, Vitaly Petrov turut membuktikan bakatnya dalam perlumbaan trek basah, apabila meletakkan Renault di tangga ketujuh, di depan pemandu Australia, Mark Webber dari Red Bull.
Schumacher hampir pasti menyudahkan perlumbaan di tempat kelapan, namun dipintas pada pusingan akhir oleh Webber dan pemandu Ferrari, Felipe Massa, yang berada memperoleh kedudukan kesembilan. Dia mendapat tempat ke-10. - AFP
hmm...button2..x sia2 i jadi ckgu u dulu
ReplyDelete